|
Oleh S.A Najmuddin
KUALA
LUMPUR 27 Julai – Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahdan
menyifatkan cadangan agar kerajaan Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun
bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu
sebagai usaha terancang menghalang orang Melayu memiliki hartanah di kawasan
bandar.
Sambil
menyifatkan tindakan tersebut sebagai melambangkan sikap cauvinis DAP, beliau
yang juga Ketua Pemuda UMNO Selayang berkata, DAP sengaja bermain api apabila
membangkit atau mencadangkan sesuatu perkara yang boleh mengguris perasaan
orang Melayu.
“Justeru
cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony
Pua tersebut perlu menjadi peringatan awal kepada orang Melayu bahawa lebih
banyak hak keistimewaan golongan itu akan diganggu gugat jika DAP memerintah.
''DAP
memang sentiasa mencari ruang untuk merampas dan menghapuskan hak-hak istimewa
orang Melayu dengan pelbagai helah terancang dan cadangan Tony itu adalah salah
satu daripada contohnya," kata beliau dalam satu kenyataan kepada laman
webPemuda, di sini, hari ini.
Ketika
mengemukakan cadangan itu Tony yang juga Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha
Agung DAP turut mengkritik pelaksanaan diskaun itu yang disifatkan tidak adil
kerana mungkin digunakan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan..
Sohaimi
berkata, tindakan DAP itu secara tidak langsung boleh dianggap sebagai usaha
halus parti tersebut untuk melemahkan orang Melayu daripada memiliki hartanah
terutamanya di kawasan bandar.
Beliau
juga menggesa pemimpin-pemimpin Melayu di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR)
menyatakan pendirian mereka berhubung isu berkenaan.
''DAP
sudah menunjukkan belang mereka, apakah pemimpin-pemimpin Melayu PKR hanya diam
sahaja sedangkan sebelum ini mereka yang melaung-laungkan soal negeri
berkebajikan,'' tegasnya.
|