|
Dari Meja Ketua Pemuda UMNO
Kita sudah mendengar pelbagai reaksi
dan ulasan terhadap cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, YB Tony Pua,
kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk memansuhkan diskaun Bumiputera dalam
pembelian rumah berharga RM500 ribu ke atas dan hartanah komersial berharga
lebih RM2 juta di negeri tersebut.
Ramai pihak, termasuk PAS Selangor,
membantah cadangan tersebut. YAB Perdana Menteri sendiri telah
mengingatkan YB Tony Pua dan parti DAP supaya jangan "terlalu menekan orang Melayu dan Bumiputera"
dengan cadangan-cadangan yang tidak sensitif dan separuh masak.
Cadangan terbaru dari DAP rata-rata
dilihat sebagai satu lagi usaha untuk menolak tepi kepentingan masyarakat
Bumiputera. Saya percaya tanggapan itu juga telah mendorong PAS Selangor
untuk membantah cadangan tersebut dan menyebabkan Ketua Umum PKR, YB Dato' Seri
Anwar Ibrahim, terus membisu dalam hal ini.
Di sini perlu saya tegaskan, saya sudah
berkali-kali menyuarakan keperluan untuk orang Melayu berani keluar dari
kepompong zon selesa dan tidak hanya berharap pada tongkat. Saya mahu
melihat masyarakat Bumiputera bersaing secara terbuka berdasarkan merit dan
kekuatan sendiri. Hujah-hujah saya dari awal konsisten, yakni Kerajaan
perlu membantu golongan Bumiputera yang benar-benar layak menerima bantuan sama
ada dari segi keperluan atau merit.
Mungkin di sini ada yang tertanya,
kalau begitu prinsip dan pegangan saya, kenapa pula saya tidak menyokong
saranan Pua? Apa yang dicadangkan oleh Pua itu cuma pemansuhan diskaun
untuk rumah-rumah yang boleh dikatakan rumah kos tinggi dan juga premis
komersial yang agak mahal. Bukankah sudah tentunya mereka yang mampu membeli
hartanah seperti ini merupakan individu dan syarikat yang sudah berjaya, maka mereka
tidak lagi memerlukan diskaun tersebut?
Sekiranya dilihat dari kanta teori
ekonomi semata-mata, mungkin ada yang akan bersetuju dengan rasional cadangan
Pua. Kenapa perlu kita kekalkan diskaun kepada mereka yang mampu membayar
jumlah yang besar untuk rumah kos tinggi? Tetapi hakikatnya, sekiranya
kita melihat kepada pegangan hartanah Bumiputera di setiap peringkat, angkanya
jauh ketinggalan berbanding kaum lain.
Statistik pada tahun 2007 menunjukkan
peratus pemilikan bangunan oleh Bumiputera cuma 15.7 peratus. Bagi hartanah
komersial pula, Bumiputera hanya memiliki sekitar 29.2 peratus untuk kompleks
perniagaan dan serendah 3.5 peratus untuk premis perindustrian. Statistik ini menggambarkan
suatu ketidakseimbangan yang terlalu ketara.
Sekiranya kita mengambil kira
premis-premis komersial di kawasan bandar dengan harga RM 2 juta ke atas, saya
percaya peratus pegangan Bumiputera begitu rendah. Antara faktor penentu kos
sesuatu premis adalah lokasi, dan bukan semata-mata saiz atau keluasan.
Sekiranya cadangan Pua dilaksanakan, maka amat sukar bagi usahawan-usahawan Bumiputera
untuk berniaga di lokasi yang strategik lantas hanya terhad kepada pinggiran
bandar semata-mata.
Satu lagi hujah Pua adalah hartanah
yang dibeli dengan harga diskaun ini dijual semula oleh broker atau orang
tengah dengan harga yang lebih mahal. Beliau menegaskan bahawa salah guna dasar
seperti penjualan semula oleh broker menjadi salah satu sebab skim diskaun ini perlu
dimansuhkan.
Saya tidak langsung boleh menerima alasan
ini kerana jika pelaksanaan menjadi masalah, maka wajarlah kita menangani kelemahan
tersebut dan bukannya memansuhkan terus dasar diskaun Bumiputera ini.
Antara langkah yang boleh diambil untuk
mengatasi masalah pelaksanaan adalah memastikan bahawa status dan klasifikasi
lot Bumiputera tidak diubah bagi mengelak sebarang pihak yang membeli hartanah
tersebut dengan harga diskaun dan menjualnya dengan keuntungan harga pasaran secara
terbuka. Perlu diingat bahawa diskaun tersebut berkait rapat dengan galakan
pemilikan dan bukan suatu tiket kepada keuntungan. Satu lagi masalah berkait
adalah di mana pemilik Bumiputera menjual kepada seorang pembeli Bumiputera
lain dengan harga pasaran yang lebih tinggi.
Isu ini boleh ditangani dengan
mewajibkan satu tempoh khusus atau “moratorium” sebelum seseorang pemilik yang
membeli rumah dengan harga diskaun Bumiputera dibenarkan menjual semula rumah
tersebut, walaupun kepada Bumiputera lain. Ini akan mampu mengelakkan masalah
di mana dasar diskaun ini disalahgunakan untuk keuntungan cepat, dan bukannya
digunakan oleh mereka yang benar-benar berniat tinggal di sesuatu kediaman.
Ada juga dakwaan yang kita dengar
mengenai pemaju perumahan yang tidak bertanggungjawab sengaja menipu dengan
mengisytiharkan kuota untuk Bumiputera tidak boleh dijual dan seterusnya
memohon kepada pihak berkuasa agar hartanah tersebut dijual kepada bukan
Bumiputera atas harga tanpa diskaun. Semua ini merupakan isu-isu berkait dengan
dasar tersebut yang tidak disentuh dan dikaji oleh Pua sewaktu memberi hujah-hujah
cetek dan separuh masak beliau.
Maka saya menolak cadangan DAP
berhubung pemansuhan diskaun atassebab-sebab di atas. Jika pemansuhan tersebut
dilaksanakan, maka segala usaha dan galakan memperbetul ketidakseimbangan dalam
pemilikan hartanah di Selangor pastinya akan gagal lantas terus melebarkan jurang
ekonomi antara kaum.
Saya percaya pendirian saya ini akan
mengundang kritikan – khususnya akan ada komen kononnya cadangan DAP ini tidak
akan memberi kesan kepada Bumiputera berpendapatan rendah.
Namun, saya berpandangan bahawa komen
sebegini kurang tepat dan simplistik sepertimana hujah YB Tony Pua. Usahawan Bumiputera yang cuba
membeli premis komersial berharga RM2 juta tidak boleh diklasifikasikan sebagai
'kaya', sepertimana juga mereka yang mahu membeli rumah berharga RM600,000.
Barangkali dasar diskaun Bumiputera ini
boleh disemak untuk kategori yang lebih tinggi, contohnya di atas nilai RM2
juta bagi pembelian rumah banglo. Malah YAB Perdana Menteri sendiri menyebut
bahawa dasar ini tidak boleh diteruskan selama-lamanya. Dalam erti kata lain,
dasar ini boleh diubah dan dikemaskini dalam jangka masa panjang, tetapi bukan
sebelum pemilikan hartanah diseimbangkan lagi.
Saya juga amat kesal dengan saranan Pua
kerana beliau langsung tidak mencadangkan sebarang dasar lain untuk memperbetul
ketidakseimbangan ini, jikapun tidak bersetuju dengan diskaun 7 peratus
tersebut.
Ini jelas mendedahkan bahawa DAP tidak
ikhlas malah tiada niat untuk membantu agenda Melayu, walaupun mereka tidak henti-henti
cuba menjaja persepsi kononnya DAP adalah parti untuk seluruh rakyat Malaysia, tanpa
mengira kaum.
Saya berharap kelak, sebelum mereka
mengeluarkan sebarang cadangan seperti ini, mereka akan dapat memberi
alternatif bagaimana masalah asas iaitu ketidakseimbangan dalam pemilikan
hartanah dapat ditangani. Sekiranya tidak, maka ternyatalah DAP gagal membawa
aspirasi seluruh majoriti Malaysia.
Khairy Jamaluddin
|