Pemuda Harap Kerajaan Kaji Prosedur Saman Ekor, Sambut Baik Guru Berpolitik
Posted on Friday, July 30 @ 16:05:33 MYT
Topic: Berita / Isu Semasa



Oleh S.A Najmuddin

KUALA LUMPUR 30 Julai – Pemuda UMNO hari ini berharap kerajaan dapat mengkaji semula dan menangguhkan pelaksanaan saman ekor dengan mengambil kira proses sedia ada untuk penambahbaikan dan sebagianya bagi mengelakkan ianya memberi implikasi kepada rakyat.


Menurut beliau prosedur sedia ada banyak menimbulkan masalah dan kepincangan terutama dari segi mereka yang tidak diberitahu saman tersebut sehingga menyukarkan pengguna kenderaaan untuk meperbaharui cukai jalan.

“Banyak kes sebenarnya saman ekor ini dan kadangkala berpuluhan saman. Bukan kerana pengguna kenderaan tidak mahu menjelaskan saman tersebut tetapi kadangkala mereka tidak tahu saman itu wujud disebabkan mungkin ada masalah dari segi penyampaian melalui pos.

“Tambahan pula saman ekor ini tidak boleh dikompaun. Ini menimbulkan kesusahan kepada rakyat bukan sahaja dari segi kenderaan persendirian malah usahawan kecil yang mana mereka tidak dapat memperbaharui cukai jalan untuk melaksanakan aktiviti perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) seterusnya menambah, pergerakan itu tidak berkompromi terhadap dasar kerajaan dari segi keselamatan jalan raya.

“Cuma apa yang kita minta ialah kerajaan dapat  mengkaji semula selain menangguhkan saman ekor dari sudut pelaksanaannya. Di sini kita tidak kompromi kepada dasar kerajaan dari segi keselamatan jalan raya tetapi pada msa yang sama isu prosedur dan pelaksanaan saman ekor ini banyak membebankan rakyat dan kita harap kerajaan dapat melakukan sesuatu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy turut meminta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan agar memberikan penjelasan lebih lanjut berhubung surat sokongan daripada ahli politik.

Menurut beliau, surat sokongan berkenaan bukannya bertujuan untuk menyalahgunakan kuasa  tetapi ianya adalah usaha daripada wakil-wakil rakyat pimpinan politik untuk membantu rakyat.

“Bukannya kita mengarahkan mana-mana jabatan dan bukannya kita ada kuasa untuk mengarahkan mana-mana jabatan atau agensi untuk membuat sesuatu keputusan samaada dari segi kontrak kerajaan atau permohonan rakyat seperti biasisiwa, perumahan, pinjaman, jabatan kebajikan dan sebagainya.

“Ini cuma untuk menarik perhatian jabatan dan agensi terlibat kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat . Kami percaya bahawa majoriti kakitangan kerajaan itu profesional dan mereka dapat menilai apa permohonan yang ada merit dan tidak ada merit.

“Ada juga beberapa kes yang mana wakil rakyat itu didatangi oleh pengundi dan rakyat kerana mereka tidak dapat layanan yang adil daripada jabatan kerajaan. Walau pun majoriti kakitangan profesional, tetapi kita tidak boleh tolak realiti bahawa ada satu dua dan segelintintir yang merupakan “napoleon kecil” yang sebenarnya tidak membantu rakyat dengan baik,” katanya.

Justeru beliau amat berharap KSN dapat perjelaskan lagi kenyataan beliau  sebelum ini kerana seolah-seolah  diberi gambaran bahawa surat sokongan itu tidak boleh lagi dibuat atau tidak perlu lagi dilayan oleh kakitangan kerajaan.

“Saya sendiri sebagai wakil rakyat ada banyak pengalaman, dan dalam hal ini kita sebenarnya ada banyak borang. Contohnya borang perumahan rakyat termiskin atau permohonan untuk mendapatkan bantuan jabatan kebajikan dan sebagainya yang memerlukan tandatangan wakil rakyat.

“Jadi apa beza surat sokongan yang kita tulis kepada jabatan kerajaan dengan tandatangan yang diperlukan dan disyaratkan di dalam borang-borang tertentu. Jadi benda ini sama,” katanya.

Berhubung langkah membenarkan guru berpolitik, Khairy berkata pergerakan itu menyambut baik dan berharap ianya diperluaskan lagi kepada penysarah dan mahasiswa.

“Kita sependapat dengan apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini agar guru-guru tidak membawa agenda politik ke dalam kelas. Ini amat penting.

“Dan kita juga merasakan sudah tiba masanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda bagi memberi ruang kepada golongan pensyarah dan mahasiswa untuk berpolitik. Kita perlu bagi kebebasan dengan syarat seperti biasa bahawa kebenaran itu tidak menjejaskan pengajian mereka,” katanya. 


 
· More about Berita / Isu Semasa
· News by admin


Most read story about Berita / Isu Semasa:
Pemuda, PPIM Edar Senarai Produk Belanda Untuk Diboikot



 Printer Friendly Printer Friendly




Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (UMNOYOUTH), Hakcipta Terpelihara.
All logos and trademarks in this site are property of their respective owner.
The comments are property of their posters, all the rest by Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia